Salam Takziah kepada keluarga mangsa yg terbabit dlm kemalangan ngeri 10.10.10...
Bas cuba potong kenderaan tetapi gagal: Penumpang
Sumber: Berita Harian 11.10.10
2010/10/11
SEREMBAN: Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan. Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama, berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku."Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.
"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini.
Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, di Rembau.
Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.
Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.
"Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut," katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.
Katanya, doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya.
Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.
"Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah," katanya.
Beliau berkata, ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.
"Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku," kata pelajar Universiti Malaya itu.
Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu.
Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit.
Sehingga kini, HTJ telah menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad "High Dispency" (HDW) dan semua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas.
Seramai 12 orang terbunuh manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta dalam pada 6.40 petang semalam.
Nahas itu berlaku apabila bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal dikawal dan terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta. - BERNAMA
1 comments:
salam
Post a Comment